KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap pembinaan mana-mana rumah ibadat yang didirikan tanpa kelulusan sah, termasuk kuil, masjid mahupun gereja, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan isu sensitif itu mesti ditangani secara berhemah dan berpandukan undang-undang tanpa menimbulkan permusuhan, sentimen kebencian atau hasutan yang boleh menggugat keselamatan serta keharmonian negara.
“Saya nak tegaskan kepada kawan-kawan India, saya tidak bersetuju dengan pertambahan kuil yang tidak mengikut peraturan. Semua mesti patuh undang-undang. Sama ada kuil, masjid, surau atau gereja, jangan sampai timbul permusuhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MPAJ, hari ini.
Hadir sama Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar serta Naib Presiden, Datuk Seri Amirudin Shari.
Anwar yang juga Presiden PKR turut mengeluarkan amaran keras terhadap segelintir pihak yang cuba tampil sebagai ‘hero’ dalam isu kuil sehingga mencetuskan ketegangan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
“Kalau kita langgar peraturan, hasilnya hanya kebencian dan masalah tidak akan selesai. Sebab itu saya terpaksa keluarkan arahan tegas semalam untuk hentikan. Isu ini sudah lama dibiarkan berlarutan kerana semua orang mahu jadi hero,” katanya.
Menurut beliau, tindakan pihak tertentu yang sengaja mempolitikkan isu kuil dengan mendekati kawasan terlibat hanya mengundang ekstremisme dan akhirnya mengorbankan kepentingan negara.
Perdana Menteri menegaskan keutamaan beliau adalah memastikan keselamatan serta kestabilan negara terpelihara, bukan tunduk kepada tekanan segelintir pihak yang bersuara lantang demi kepentingan tertentu.
“Musuh politik akan guna apa sahaja isu untuk melemahkan kita. Sebab itu saya pilih sampaikan perkara ini secara langsung kepada rakan-rakan Keadilan Selangor supaya naratif yang betul dapat diperbetulkan,” katanya.










