KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan agar mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terlibat dalam perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 baru-baru ini tidak dikenakan tindakan buang universiti, meskipun tindakan mereka kini disiasat oleh pihak berkuasa.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir, Anwar berpandangan bahawa para pelajar tersebut mungkin telah melakukan kesilapan, namun masa depan pendidikan mereka harus menjadi keutamaan.
“Bagi Perdana Menteri, kesilapan itu tidak seharusnya memusnahkan masa depan mereka. Peluang kedua perlu diberikan dan pengajian mereka tidak wajar dikorbankan,” tulis Zambry dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, mengesahkan bahawa peserta perhimpunan berkenaan kini sedang disiasat atas sembilan kesalahan, termasuk tindakan menghasut, membawa bahan berbahaya, membuat pembakaran terbuka di tempat awam, dan menyentuh isu-isu sensitif melibatkan Raja, agama dan kaum (3R).
Siasatan dijalankan di bawah pelbagai akta, termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan
Perhimpunan yang dianjurkan oleh kumpulan Suara Mahasiswa UMS itu menarik perhatian apabila para peserta berarak sekitar bandar raya Kota Kinabalu, membawa plakad mengkritik pelbagai isu tempatan seperti rasuah, masalah bekalan air, serta ketirisan pentadbiran di Sabah.
Bagaimanapun, tindakan membakar karikatur Perdana Menteri semasa perhimpunan telah mencetuskan kontroversi dan mendapat kecaman pelbagai pihak.
Difahamkan, Perdana Menteri mengarahkan pendekatan yang lebih berhemah dan bersifat mendidik diambil terhadap pelajar terbabit, berbanding hukuman keras yang boleh menjejaskan masa depan mereka.
“Kita mahu lahirkan mahasiswa yang kritikal, tetapi pada masa sama bertanggungjawab. Hukuman bukan penyelesaian kepada semua,” kata satu sumber rapat kerajaan.