KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyanggah tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang secara tidak bertanggungjawab dan licik telah membuat kenyataan yang bersifat fitnah dan menyerang peribadi, selepas membangkitkan isu tuduhan amalan homoseksual yang kononnya dilaporkan oleh sebuah media asing.
Sehubungan itu Anwar menyarankan Hamzah untuk membaca buku karangan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang bertajuk ‘Qazaf Mangsa Fitnah’.
“Tentunya dia belum dapat tarbiah daripada Marang yang pernah menulis tentang Kazaf, saya syor buku itu dibaca oleh Ketua Pembangkang,” kata Anwar dalam Dewan Rakyat hari ini.
Sambil memetik kata-kata penulis terkenal William Shakespeare, ujar Anwar, kesabaran adalah penting dalam berhadapan kenyataan yang dibuat oleh seorang yang bodoh.
“Mengikut Shakespeare ‘tale told by an idiot, full of sound and fury, signifying nothing’ jadi kita kena sabar kerana semua kenyataan-kenyataan itu tidak bertanggungjawab
“Saya beri contoh upamanya Ketua Pembangkang yang bekerja selama hampir 25 tahun mencerca, menfitnah konpirasi, menyerang peribadi menimbulkan fitnah dan diteruskan dengan cara yang begitu licik,” kata Anwar.
Terdahulu di Dewan Rakyat semalam, Hamzah meminta Anwar menyaman media Eropah, yang telah menerbitkan artikel mengenai pelantikannya sebagai perdana menteri dengan menggelarnya sebagai “homoseksual sepenuhnya” (full-blown homosexual).
Hamzah berkata, ia jelas adalah satu penghinaan kepada Anwar, dan dia mesti mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara itu.
Beliau berkata Anwar sebelum ini telah disabitkan “mengenai perkara itu”, merujuk kepada sabitan kesalahan liwat sebelum ini, tetapi mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.