Anwar: Suara Pembangkang Penting Dalam Pindaan RUU URA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pandangan blok pembangkang tetap diberi ruang dalam proses memperhalusi Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) agar pelaksanaannya benar-benar berteraskan kepentingan rakyat.

Menurut Anwar, pertemuannya dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bersama beberapa wakil blok pembangkang di lobi Parlimen hari ini menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan mendengar pandangan semua pihak.

“Pandangan mereka penting untuk memperkukuh pindaan RUU ini supaya ia lebih menyeluruh, inklusif dan tidak meminggirkan mana-mana pihak. Kerajaan sentiasa terbuka menerima cadangan, termasuk daripada pembangkang,” katanya.

RUU URA yang dibawa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebelum ini ditangguhkan ke sesi mesyuarat Dewan Rakyat akan datang bagi memberi ruang perbincangan lanjut.

Penangguhan itu dibuat selepas rang undang-undang berkenaan mendapat tentangan hebat, bukan sahaja daripada wakil pembangkang, malah sebahagian Ahli Parlimen kerajaan termasuk PKR dan Barisan Nasional.

Di Dewan Rakyat, Anwar turut menolak dakwaan bahawa RUU tersebut adalah helah untuk merampas hak orang Melayu, sambil menegaskan beliau bukan perdana menteri boneka.

“Saya akan tetap mempertahankan kepentingan Melayu dan Bumiputera, majoriti rakyat negara ini. RUU ini digubal bukan untuk menindas, tetapi untuk menyelamatkan masyarakat Melayu bandar agar tidak terus hidup merempat,” tegas beliau.

BBerkaitan

Latest articles