Anwar Sindir Pembangkang ‘Bisu’ Saat Ringgit Mengukuh Jadi Mata Wang Terbaik Asia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir pembangkang yang didakwa hanya lantang mengkritik ketika nilai ringgit jatuh, tetapi berdiam diri apabila mata wang negara kini menjadi antara paling kukuh di Asia.

Anwar berkata, nilai ringgit yang kini mencecah RM4.16 berbanding AS$1 mencerminkan kestabilan ekonomi negara serta keyakinan pelabur terhadap dasar Kerajaan Madani.

“Dulu waktu ringgit jatuh, saya diserang bertubi-tubi. Sekarang ringgit mengukuh, langsung tak ada yang ucap tahniah. Ini masalahnya,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, prestasi kukuh ringgit itu turut disokong oleh penarafan kredit positif yang dikekalkan oleh S&P Global Rating, masing-masing A- dan A3, dengan tinjauan stabil.

Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan mengenai keberkesanan Dasar Ekonomi MADANI, Anwar menjelaskan bahawa pelbagai indikator menunjukkan kemajuan ketara dalam tempoh 18 hingga 24 bulan lalu.

Katanya, pelaburan meningkat kepada RM384.2 bilion pada 2024, manakala daya saing global Malaysia melonjak 11 anak tangga, pencapaian terbaik dalam tempoh sedekad.

“Trend perdagangan negara terus positif dengan jumlah dagangan meningkat 4.4 peratus antara Januari hingga September 2025, mencecah RM2.24 trilion meskipun berdepan tarif baharu Amerika Syarikat di bawah Presiden Donald Trump,” katanya.

Anwar turut memaklumkan, ekonomi negara merekodkan pertumbuhan 4.4 peratus pada separuh pertama 2025 dan 5.2 peratus pada suku ketiga, dengan unjuran tahunan dijangka melebihi sasaran awal.

Anwar juga berkata, kejayaan pelaksanaan program penyasaran subsidi juga membuktikan keberkesanan dasar kerajaan dengan penjimatan dana negara lebih RM15 bilion.

“Dasar ini sudah dibincangkan berpuluh tahun, tetapi hanya berjaya dilaksana dengan tekad politik kerajaan sekarang,” tegasnya.

Selain itu, pendapatan per kapita meningkat kepada RM54,793, lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, menandakan peningkatan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

Menepis dakwaan pembangkang bahawa defisit fiskal semakin membengkak, Anwar menegaskan bahawa angka sebenar menunjukkan penurunan konsisten sejak 2023.

“Defisit fiskal turun daripada 5.5 peratus kepada 5 peratus pada 2023, dan dijangka berkurang lagi kepada 3.8 peratus pada 2025. Tahun 2026 pula kita sasarkan turun ke 3.5 peratus,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan, kerajaan berjaya mengurangkan hutang baharu negara daripada RM100 bilion pada 2022 kepada RM77 bilion, walaupun terus melaksanakan projek asas seperti tebatan banjir, kesihatan dan pendidikan.

“Kita masih berhutang, tetapi dengan kawalan berdisiplin agar tidak membebankan generasi akan datang,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles