KUANTAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Himpunan Pendekar Madani Pahang bukan sekadar acara seni mempertahankan diri, sebaliknya menjadi wadah penting menyatukan anak muda serta menghidupkan kembali semangat perjuangan dan kemerdekaan.
Perdana Menteri yang juga pengasas serta penaung gerakan Pendekar Madani itu berkata, erti kemerdekaan perlu difahami dalam konteks lebih luas, bukan hanya terhad kepada penentangan terhadap penjajahan, malah melibatkan usaha melawan kezaliman, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Menurut beliau, kebangkitan rakyat khususnya golongan muda dalam mempertahankan hak dan maruah diri adalah cerminan sebenar semangat ‘Merdeka’ yang perlu dipupuk melalui platform seperti silat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejuaraan Silat Piala PMX Pendekar Madani yang berlangsung di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), yang menghimpunkan lebih 1,500 pesilat daripada kira-kira 63 persatuan silat seluruh negeri.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Speaker Dewan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin serta Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Dalam ucapannya, Anwar turut menekankan kepentingan pembinaan disiplin, akhlak dan jati diri dalam kalangan generasi muda, sambil menyifatkan kekuatan bangsa terletak pada nilai kepahlawanan yang berteraskan maruah dan harga diri.
“Semangat perjuangan harus bermula dari bawah, daripada kumpulan anak muda yang berani dan berdisiplin. Inilah asas kepada perpaduan dan kekuatan bangsa,” katanya.
Pada majlis sama, simbolik perasmian turut diserikan dengan penyerahan Piala Kejuaraan kepada Perdana Menteri oleh Presiden Pendekar Madani, Muhammad Koharullah Raja Abdul Majid bersama legenda silat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari.
Selain itu, Anwar turut menyampaikan Anugerah Pendekar Madani Pahang kepada bekas atlet negara, Fazly Mansoh serta Anugerah Srikandi Madani Pahang kepada Suzy Mohd Sulaiman sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam arena persilatan.










