Anwar Seru Rakyat Pertahan Perpaduan, Hanya ‘Kelompok Kecil’ Cetus Provokasi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kekuatan sebenar Malaysia terletak pada sikap rakyatnya yang saling menghormati agama dan budaya, sambil menyifatkan golongan yang gemar mencetuskan ketegangan sebagai kelompok kecil yang tidak mewakili suara majoriti.

Menurut beliau, sebahagian besar rakyat negara ini mahukan keamanan, kestabilan politik dan kemajuan ekonomi, selain hidup dalam suasana harmoni meskipun berbeza kaum dan kepercayaan.

Katanya, kelompok yang sering mencetuskan kemarahan dan polemik sebenarnya kecil jumlahnya, namun kadangkala diberi perhatian berlebihan sehingga menenggelamkan suara majoriti yang cintakan perpaduan.

“Majoriti rakyat mahu negara aman, ekonomi berkembang dan semua budaya serta agama dihormati. Jangan biarkan hanya suara kecil yang menimbulkan masalah menguasai naratif,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Huazong 2026 di Wisma Huazong, hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Anwar turut menekankan bahawa kestabilan dan kemajuan negara perlu disokong oleh tadbir urus yang baik serta pendekatan kepimpinan yang tegas tetapi berteraskan rasa hormat antara satu sama lain dalam masyarakat majmuk.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak pernah dipersoalkan.

Pada masa sama, usaha memperkukuh penguasaan bahasa lain termasuk bahasa Inggeris dan bahasa Cina harus dilihat sebagai nilai tambah yang menguntungkan negara.

“Tiada siapa yang rugi apabila bahasa dan budaya dimartabatkan secara seimbang dalam kerangka negara berdaulat dan demokratik,” ujarnya.

Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa Islam kekal sebagai agama Persekutuan, namun kebebasan rakyat untuk mengamalkan agama masing-masing tetap terpelihara seperti yang dijamin Perlembagaan iaitu satu prinsip yang menjadi tunjang keharmonian Malaysia sejak sekian lama.

BBerkaitan

Latest articles