Anwar Serang Saya Kerana Orang Dah Tak Sokong PH – Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kecewa kerana ramai penyokong Pakatan Harapan (PH) beralih kepada Perikatan Nasional (PN) telah menyebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerang Tan Sri Muhyiddin Yassin secara bertalu-talu.

Malah Pengerusi PN itu mendakwa serangan Anwar terhadapnya sepanjang kempen PRU15 ini dilakukan kerana mahu beliau tersungkur.

“Beliau telah membuat pelbagai dakwaan terhadap saya. Dia (Anwar) nampak parti dia tak dapat tarikan majoriti rakyat.

“Jadi, serang saya berhabis-habisan supaya saya jatuh dan dia jadi Perdana Menteri,” katanya ketika berceramah pada siri Jelajah PN Best Final di Pagoh malam tadi.

Muhyiddin turut menafikan segala dakwaan Anwar sebelum ini kononnya beliau ada mengambil tanah dan duit semasa menjadi Menteri Besar di Johor.

“Wallahi saya tak buat begitu tuduhan Anwar merupakan satu fitnah.

“Fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh. Dia ada satu tahap ‘gaban’ dia dah ‘seriau’, hari tinggal beberapa jam lagi orang nak mengundi…. dia nampak parti dia tak dapat tarikan majoriti rakyat,” ujarnya.

Dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini Anwar dilihat sering menyerang Muhyiddin dengan beberapa dakwaan.

Presiden PKR itu sebelum ini menuduh PN sebagai gabungan politik terkaya ketika ini kerana mendapat banyak projek berbilion ringgit ketika pandemik COVID-19.

Anwar turut mendakwa, Muhyiddin yang menjadi Perdana Menteri ketika itu, mengeluarkan banyak projek tanpa tender kepada pihak tertentu.

Berang dengan serangan itu, Muhyiddin mencabar Anwar mendedahkan penyata akaun partinya.

Cabaran itu disahut Anwar dengan syarat calon PN Parlimen Pagoh itu melakukan perkara sama.

BBerkaitan

Latest articles