KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keyakinan bahawa Filipina mampu meneruskan momentum kepimpinan ASEAN dengan penuh kejelasan dan hala tuju apabila negara itu mengambil alih kerusi pengerusi tahun depan.
Beliau berkata, kepengerusian ASEAN 2026 dijangka terus digerakkan dengan kehangatan dan keanggunan yang sinonim dengan rakyat Filipina, selain berpaksikan semangat serantau yang kukuh.
“Hidup yang tidak didedikasikan kepada cita-cita besar adalah hidup yang sia-sia. Ia seperti batu yang terbuang di padang tanpa menjadi sebahagian daripada mana-mana binaan,” katanya memetik kata-kata nasionalis Filipina terkenal, Jose Rizal, ketika berucap di majlis penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Anwar secara rasmi menyerahkan kepengerusian ASEAN kepada Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. (Bombo Marcos) sambil mengucapkan selamat maju jaya kepada negara jiran itu dalam meneruskan agenda serantau tahun depan.
Menurut beliau, Malaysia berasa amat berbesar hati kerana diberi kepercayaan menakhodai ASEAN sepanjang tahun ini, yang disifatkannya sebagai pengalaman luar biasa dalam memupuk semangat perpaduan dan kesepakatan di rantau ini.
“Tahun ini, kita bukan sekadar menjadi tuan rumah, tetapi juga menyaksikan bagaimana semangat ASEAN kembali hidup melalui perbincangan dan kerjasama yang matang.
“Kita membina jambatan baharu, menghidupkan dialog dan membuktikan bahawa misi ASEAN kekal relevan jika dipandu dengan kesabaran dan kebijaksanaan,” katanya.
Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada semua pemimpin ASEAN atas semangat kerjasama yang ditunjukkan dalam mencapai misi bersama, meskipun berdepan pelbagai cabaran serantau.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sikap mesra dan bertolak ansur sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
“Di mata dunia, anda semua telah menunjukkan wajah terbaik Malaysia. Terima kasih atas sokongan dan kesabaran anda,” katanya menutup ucapan.










