Anwar Sebut Isu Pentadbiran Yang Lalu, Tapi Radzi ‘Koyak’ Lebih

KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin menyifatkan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Mohd Jidin berlebih-lebihan ketika penjelasan mengenai keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat, semalam.

Ujarnya dalam perbahasan yang menyebabkan kekecohan itu, perkara dibangkitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah mengenai pentadbiran lalu di mana Radzi adalah sebahagian daripadanya.

Shamsul Iskandar juga meminta Radzi jangan mudah koyak dan sepatutnya memahami peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

“Putrajaya sepatutnya baca peraturan mesyuarat dan Speaker Dewan Rakyat untuk mengeluarkan petua atau pun keputusan dengan bertanya kepada Anwar bagi menjelaskan apa sebenarnya yang diperkatakan.

“Maknanya, sesuatu isu yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen khususnya dalam Peraturan 36(6) iaitu sangkaan jahat, maka speaker perlu bertanya semula kepada seseorang ahli yang membangkitkan perkara itu.

“Dalam konteks ini, speaker kena tanya Perdana Menteri dan beliau telah menjelaskan beberapa kali bahawa dia merujuk kepada pentadbiran di mana Ahli Parlimen Putrajaya menjadi sebahagian daripada jentera pentadbiran yang lalu,” katanya.

Ujar Shamsul lagi, selepas mendengar penjelasan, Speaker Dewan Rakyat telah membuat keputusan.

“Keputusannya tidak ada isu dan telah pun dijelaskan oleh speaker. Jika jawapan itu tidak memuaskan hati Putrajaya, peruntukan Perkara 99 Peraturan Mesyuarat menjelaskan bahawa Radzi boleh membuat usul kepada speaker.

“Perkaranya mudah sahaja tetapi Ahli Parlimen Putrajaya sengaja hendak menegakkan benang yang basah,” katanya.

Dalam pada itu Shamsul Iskandar memaklumkan pihaknya akan membuat laporan polis susulan tuduhan Radzi terhadap Anwar sebagai peliwat.

Pihaknya akan meneliti hansard Dewan Rakyat terlebih dahulu dan jika benar kenyataan itu direkodkan, pihaknya akan meminta polis menyiasat ahli Parlimen berkenaan.

“Netizen sudah kecoh di media sosial dengan kata-kata Ahli Parlimen Putrajaya sebagai tuduhan ke atas Perdana Menteri sebagai peliwat.

“Saya minta jawapan, apakah benar Putrajaya perlu jawab perkara ini dan kita akan tengok hansard Dewan Rakyat.

“Kalau tidak, kita akan buat laporan polis di seluruh negara untuk menunjukkan bagaimana jahatnya sikap dan tembelang Radzi,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles