Anwar: Saya Tak Mahu Terkenal Dengan Bangunan Besar, Tapi Dengan Rakyat Yang Berubah

KUALA LUMPUR, – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak berminat untuk dikenang sebagai pemimpin yang membina bangunan tinggi dan mercu tanda, sebaliknya mahu dinilai berdasarkan kejayaan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Menurut beliau, kemajuan sesebuah negara tidak harus hanya diukur melalui pembangunan fizikal semata-mata, tetapi lebih penting ialah perubahan sikap dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

“Saya tak peduli orang kata Anwar tak bina bangunan besar . Saya nak bangga kalau masa Anwar Perdana Menteri, rumah rakyat naik, gerai-gerai diperbaiki. Itu tanah yang terbaik,” katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah projek  pembangunan Rumah Belia Madani Dan Rumah Mampu milik di Mukim Batu, disini hari ini.

Perdana Menteri menegur sikap segelintir pemimpin dan pegawai yang memegang jawatan tinggi namun gagal memanfaatkan kedudukan mereka untuk membantu rakyat.

“Apa guna duduk di jawatan tinggi, tapi tak ada upaya untuk perbaiki kehidupan rakyat? Setiap bulan mesti ada projek besar perumahan yang diselesaikan. Gerai rakyat dibersih dan dibaiki, bukan tunggu dua tiga bulan,” katanya lagi.

Anwar turut membangkitkan keadaan daif sebahagian sekolah di negara ini yang masih mengalami masalah kemudahan asas, khususnya tandas yang rosak dan tidak boleh digunakan.

Beliau mendedahkan bahawa kerajaan telah memperuntukkan lebih RM1 bilion melalui Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membaiki kemudahan tandas di sekolah-sekolah seluruh negara sepanjang tahun lalu.

“Siapa belajar kalau tandas bocor dan tak boleh guna? Anak kita, cucu kita. Jadi mesti ada tindakan tegas dan segera,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa kemajuan negara tidak boleh dicapai dengan memperlekeh atau menghina kaum lain.

“Kita tidak akan berjaya hanya kerana kita caci orang Cina atau hina orang Melayu. Kita hanya mampu angkat darjat kalau kita istiqamah dalam pendidikan dan perbetulkan akhlak,” katanya.

Anwar juga menggesa penjawat awam dan pemimpin politik agar menjauhi amalan rasuah dan salah guna kuasa yang dilihat terus mencemarkan integriti pentadbiran.

“Jangan kerja hanya untuk ‘sakau’. Jangan bila ada projek, terus fikir nak kaya. Negara boleh jahanam kalau begini,” tegasnya.

Beliau menzahirkan keyakinan bahawa dengan komitmen bersama, pentadbiran kerajaan mampu membawa pembaharuan sebenar untuk rakyat.

“Kita perlu kerja sebagai satu pasukan. Kalau ini dilakukan, insya-Allah, negara ini boleh jadi ‘baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur’,” katanya

BBerkaitan

Latest articles