Anwar Respon Khabar Angin KJ Sertai Kabinet: “Ye ke? Siapa Beritahu?”

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan berdiam diri berhubung desas-desus yang mendakwa bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bakal kembali menyertai Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Ketika diajukan soalan oleh pihak media mengenai perkara itu, Anwar hanya membalas ringkas sambil tersenyum, “Ye ke? Siapa beritahu?” sebelum berlalu pergi tanpa memberi sebarang penjelasan lanjut.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Simposium Pembangunan dan Anugerah Pembangunan Negara 2025 yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Tindakan Anwar itu sekali gus menambah teka-teki mengenai khabar angin rombakan Kabinet yang dikatakan bakal diumumkan awal Disember ini.

Menurut laporan tersebut, penyusunan semula Kabinet kali ini dijangka menjadi antara yang paling signifikan sejak penubuhan Kerajaan Madani, dengan tumpuan kepada pengukuhan pasukan ekonomi, pengurangan saiz Kabinet dan kesinambungan dasar sedia ada.

Antara nama yang disebut-sebut bakal mengisi barisan baharu Kabinet termasuk Khairy yang dikatakan mungkin dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air, manakala Datuk Seri Johari Abdul Ghani dijangka mengambil alih Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Namun, sehingga kini tiada pengesahan rasmi daripada Pejabat Perdana Menteri atau mana-mana pihak kerajaan mengenai spekulasi tersebut.

BBerkaitan

Latest articles