Anwar “Redakan” Desakan Pecat Rafizi, Isu Ekonomi Lebih Kritikal

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tampil meredakan ketegangan dalaman parti apabila menggesa semua pihak agar tidak terburu-buru mendesak tindakan terhadap bekas timbalan presidennya, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Menurut Anwar yang juga Perdana Menteri, fokus utama ketika ini seharusnya diberikan kepada isu ekonomi negara yang jauh lebih mendesak berbanding konflik peribadi dalam parti.

“Tak apalah kita minta bertenang dulu. Tumpu masalah ekonomi negara lebih serius berbanding masalah peribadi,” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat di Kampung Cheras Baru, Pandan.

Kenyataan itu hadir di tengah-tengah polemik berterusan membabitkan Rafizi yang lantang mengkritik kerajaan dan kepimpinan PKR sejak tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden serta melepaskan portfolio Menteri Ekonomi pada Mei tahun lalu.

Tekanan terhadap Rafizi semakin memuncak apabila Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, A. Kumaresan, sebelum ini menggesa tindakan tegas diambil, mendakwa Ahli Parlimen Pandan itu melemahkan parti dari dalam.

Rafizi, pada hari ini dilaporkan mencabar kepimpinan PKR untuk memecatnya.

Tindakan itu dibuat ketika beliau mempertahankan beberapa kenyataan kritikal terhadap parti, yang turut disenaraikan dalam surat tunjuk sebab kedua yang diterimanya semalam.

Untuk rekod pada Julai tahun lalu, sebanyak 19 cabang PKR di Johor pernah menggesa agar sembilan Ahli Parlimen termasuk Rafizi digantung keahlian susulan desakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pelantikan kehakiman serta dakwaan campur tangan dalam institusi itu.

Ketua cabang terlibat mendakwa tindakan kumpulan berkenaan melanggar disiplin parti, selain mencetuskan persepsi negatif terhadap kepimpinan Perdana Menteri dan membuka ruang kepada manipulasi politik oleh pihak lawan.

BBerkaitan

Latest articles