Penolakan terhadap pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri Pakatan Harapan (PH) adalah berdasarkan Presiden PKR itu mempunyai ramai musuh, demikian menurut Tun Dr Mahathir Mohamad.
Malah bekas pengerusi Bersatu itu percaya tindakan meletakkan Anwar sebagai usaha merampas kembali kerajaan persekutuan hanya merugikan gabungan pembangkang itu, termasuk akan menyebabkan ramai pihak akan meninggalkan PH.
Melihat kepada kemungkinan itu menyebabkan Dr Mahathir menamakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan akan memberi sokongan padu terhadap Presiden Warisan itu.
Shafie juga, menurut Dr Mahathir turut menerima sokongan daripada DAP dan Amanah.
“Jadi seolah-olah dia (Anwar) hendak dia saja boleh jadi Perdana Menteri. Dan kita boleh bagi kepada dia. Tetapi dia mempunyai banyak musuh. Kita punya bilangan tidak cukup.
“Kita nak kena tambah bilangan. Kalau bubuh nama dia, saya fikir tak ramai yang akan menyertai. Bahkan akan ada orang-orang tertentu yang akan sedang ada dengan kita akan tinggalkan kita,” katanya memetik rakaman video yang dimuatnaik di media sosial.
Dr Mahathir hanya menamakan Anwar dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai timbalan perdana menteri 1 dan 2.
Kenyataan terbaru Dr Mahathir itu muncul selepas PKR sebulat suara menolak pencalonannya sebagai perdana menteri.