Anwar Puji Kejayaan Memberansangkan Kontinjen Malaysia Di Sukan SEA 2025

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh Kontinjen Malaysia atas pencapaian cemerlang pada Sukan SEA 2025 yang berlangsung di Thailand.

Menurut beliau, kejayaan berkenaan membuktikan disiplin tinggi, pengorbanan berterusan serta semangat juang luar biasa para atlet, jurulatih dan pegawai pasukan dalam mengharumkan nama negara di pentas serantau.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini, Anwar menegaskan pencapaian itu wajar dijadikan pemangkin untuk memperkukuh persiapan menghadapi temasya sukan utama akan datang, supaya Malaysia terus kekal berdaya saing dan disegani bukan sahaja di peringkat Asia Tenggara, malah di arena antarabangsa.

Dalam perkembangan sama, beliau memberi jaminan bahawa persiapan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 akan dilaksanakan secara menyeluruh, terancang dan berwibawa.

Jelasnya, fokus persediaan bukan hanya tertumpu kepada prasarana dan penganjuran, tetapi turut melibatkan pembinaan ekosistem sukan yang mampan serta usaha melahirkan bakat bertaraf dunia.

“Sukan bukan sekadar pertandingan, malah wadah penyatuan rakyat yang merapatkan hubungan merentas kaum, wilayah dan latar belakang dalam satu semangat kebersamaan serta kebanggaan nasional. Inilah kekuatan sebenar Malaysia yang mesti terus dipelihara dan diperkasa,” katanya.

Pada temasya yang melabuhkan tirai kelmarin itu, Malaysia menutup kempen dengan prestasi membanggakan apabila meraih 57 pingat emas, 57 perak dan 117 gangsa, menjadikan keseluruhan 231 pingat.

Kutipan berkenaan bukan sahaja melepasi sasaran awal 200 pingat, malah mencipta sejarah sebagai jumlah pingat keseluruhan tertinggi yang pernah dicapai Malaysia pada Sukan SEA di luar Kuala Lumpur, mengatasi rekod 216 pingat pada edisi 2007 di Korat, Thailand.

Lebih manis, pencapaian 57 pingat emas itu juga merupakan yang terbaik dalam tempoh enam tahun, mengatasi kutipan 55 emas pada Sukan SEA 2019 di Filipina, sekali gus mengesahkan kebangkitan semula prestasi sukan negara di pentas serantau.

BBerkaitan

Latest articles