TANJUNG MALIM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap kecekapan tadbir urus Kerajaan Negeri Perak yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, apabila berjaya mempercepatkan proses kelulusan projek pembangunan industri di negeri itu.
Menurut Anwar, kecekapan tersebut bukan sahaja menguntungkan pelabur, malah mempercepatkan pertumbuhan sektor perindustrian yang strategik.
“Seperti disebut Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Tan Sri Syed Faisal Albar, dukungan dan kerjasama Kerajaan Negeri Perak mempercepatkan proses kelulusan adalah contoh yang baik.
“Bukan sekadar di sini, pengalaman saya dengan KIGIP (Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian) juga membuktikan kelulusan cepat dan cekap yang amat membanggakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kilang Kenderaan Elektrik Proton di Proton City, hari ini.
Turut hadir, Saarani; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang serta Syed Faisal.
Anwar turut mengiktiraf kerjasama erat tiga kementerian iaitu MITI, MOT dan MOSTI yang menurutnya memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan Proton dan industri automotif negara.
“Saudara lihat, kehadiran tiga menteri ini cukup bermakna kerana mereka semua punya peranan besar untuk mendukung kejayaan projek automotif negara,” jelasnya.
Dalam masa sama, Anwar menegaskan pembinaan kilang pembuatan kenderaan elektrik (EV) Proton di Tanjung Malim menjadi bukti kerjasama rapat Malaysia–China, khususnya dalam aspek pemindahan teknologi dan peluang pembangunan tenaga kerja tempatan.
“Ketersediaan China memindahkan teknologi serta memberi ruang kepada anak-anak tempatan adalah faktor yang akan melonjakkan industri automotif Malaysia ke tahap lebih tinggi,” katanya.