Anwar: Projek Baik Jangan Dilengah, Rakyat Mahu Hasil Bukan Alasan

SEMENYIH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua projek pembangunan yang telah memenuhi syarat dan mematuhi peraturan wajar dilaksanakan segera tanpa kelewatan tidak munasabah, kerana ia memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, proses kelulusan dan pelaksanaan projek sepatutnya dipercepatkan sekiranya tiada halangan, sambil menegaskan budaya birokrasi yang melambatkan pembangunan perlu dihentikan.

Menurutnya, rakyat menilai kecekapan kerajaan berdasarkan hasil yang dapat dinikmati, bukan sekadar perancangan di atas kertas.

“Kalau projek itu baik dan ikut peraturan, kenapa perlu tunggu lama? Kalau boleh siap lebih awal, percepatkan. Kita tidak boleh lengahkan perkara yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran inisiatif infrastruktur awam, hari ini.

Anwar turut menekankan kepentingan menyegerakan bukan sahaja projek berskala besar, malah projek kecil di peringkat komuniti seperti pembaikan jalan, kemudahan awam dan surau yang disifatkan memberi impak segera kepada kehidupan harian rakyat.

Terdahulu, beliau menyempurnakan pelancaran inisiatif infrastruktur awam termasuk Projek Jalan Pintasan Semenyih, hasil kerjasama KHK Land dan Kerajaan Persekutuan.

Laluan sepanjang 4.3 kilometer itu dijangka mengurangkan kesesakan serta memendekkan masa perjalanan ke Kuala Lumpur daripada 45 minit kepada kira-kira 20 minit.

Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan pengambilan Tanah Rizab Melayu bagi tujuan pembangunan akan diganti selaras dengan komitmen kerajaan negeri, selain mengingatkan semua pihak agar aspek kelestarian alam sekitar tidak diketepikan demi memastikan pembangunan yang seimbang dan bertanggungjawab.

BBerkaitan

Latest articles