KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menilai prestasi barisan Jemaah Menterinya sepanjang dua tahun ini sebagai membanggakan, namun menegaskan kerajaan tetap terbuka terhadap sebarang teguran dan kritikan untuk penambahbaikan.
Menurut Anwar, Jemaah Menteri mendengar laporan serta pandangan bebas mengenai prestasi mereka daripada ahli akademik dan penjawat awam dalam permukiman selama dua hari yang berakhir semalam
“Kita beri ruang kepada menteri untuk menyatakan iltizam dan komitmen mereka dalam meningkatkan prestasi. Saya tidak mengatakan semuanya sempurna, tetapi mereka mengambil serius setiap teguran dan berusaha memperbaikinya,” katanya dalam sidang media selepas permukiman tersebut.
Selain menilai prestasi kabinet, permukiman itu turut membincangkan langkah-langkah kerajaan dalam mengurangkan kesan inflasi terhadap rakyat.
Anwar mengakui walaupun statistik menunjukkan kadar inflasi negara rendah, isu kenaikan harga barang tetap menjadi cabaran utama yang perlu ditangani.
“Walaupun angka-angka statistik menunjukkan inflasi kita terkawal, rakyat masih mengeluh tentang kenaikan harga barang, terutamanya barangan keperluan asas.
“Lonjakan ekonomi, peningkatan pelaburan, serta pertumbuhan sektor pelancongan hanya akan lebih bermakna jika kita dapat mengawal kenaikan harga yang membebankan rakyat,” katanya.
Kerajaan, katanya, akan terus meneliti pendekatan terbaik bagi memastikan kesejahteraan rakyat dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.