KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa amalan tolak ansur dalam politik sering menjadi keperluan bagi memastikan keutuhan dan kesatuan masyarakat berbilang kaum terus terpelihara.
Menurut beliau, realiti politik menuntut penyelesaian yang bersifat praktikal dan berteraskan keadaan sebenar, bukan sekadar berpaksikan teori atau idealisme yang abstrak, apatah lagi apabila politik itu sendiri tidak pernah terpisah daripada pertembungan idea serta kepentingan pelbagai pihak.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran lapan buku Rekam Jejak 70 Tahun Prof Dr Yusril Ihza Mahendra di sini, Sabtu, dengan teks ucapan beliau dibacakan oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.
Majlis berkenaan turut dihadiri Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka.
Anwar menyifatkan Menteri Koordinator Bidang Hukum, Hak Asasi Manusia, Imigrasi dan Pemasyarakatan Indonesia itu sebagai tokoh yang memahami hakikat politik secara mendalam, khususnya dalam kerangka perundangan dan perlembagaan.
Sebagai pakar undang-undang, katanya, Yusril arif tentang bagaimana Perlembagaan membentuk struktur negara berteraskan kedaulatan rakyat, demokrasi serta prinsip semak dan imbang antara institusi.
Menurut Anwar, sebagai sarjana dan pemikir politik, Yusril juga memahami bahawa dinamika politik sentiasa bergerak seiring perubahan sosial dan geopolitik.
Dalam konteks tersebut, beliau berkata Yusril meletakkan Islam sebagai sumber nilai dan norma universal yang mampu menjiwai kehidupan berbangsa dan bernegara.
Pada kesempatan sama, Anwar turut merakamkan ucapan selamat menyambut ulang tahun ke-70 kepada Yusril Ihza Mahendra.










