KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau sedang mempertimbangkan secara serius penubuhan semula Kementerian Undang-undang yang pernah wujud sebelum dibubarkan pada 1995.
Menurut Anwar, langkah itu penting bagi mewujudkan sistem perundangan yang lebih tersusun, sekali gus mengangkat kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam memartabatkan kedaulatan undang-undang di rantau ini.
“Menteri Undang-Undang (Datuk Seri Azalina Othman Said) amat bersemangat dan sentiasa mendesak supaya perubahan dilakukan segera. Justeru, penubuhan semula Kementerian Undang-undang perlu dipertimbangkan secara serius.
“Ini bukan sahaja memastikan kesepaduan lebih baik dalam ekosistem perundangan negara, malah memberi ruang kepada Malaysia untuk berinteraksi dengan lebih bermakna bersama rakan serantau dalam memperkukuh kedaulatan undang-undang,” katanya ketika berucap pada Forum Undang-Undang ASEAN di ibu negara.
Anwar turut menekankan keperluan kerjasama serantau dalam bidang perundangan, termasuk memperkukuh bantuan perundangan bersama, memperbaiki mekanisme penyelesaian pertikaian serta menangani cabaran baharu seperti tadbir urus digital dan pengawalseliaan kecerdasan buatan (AI).
Tegas beliau, Malaysia perlu berada pada kedudukan yang kukuh untuk membentuk tertib serantau yang lebih adil dan responsif melalui penyelarasan amalan terbaik dengan negara-negara jiran.
Tahun lalu, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) pernah menggesa supaya Kementerian Undang-undang diwujudkan semula bagi memastikan agenda reformasi undang-undang negara dapat dilaksanakan secara berkesan.
Badan pemantau antirasuah itu menegaskan, walaupun Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) kini berperanan di bawah Jabatan Perdana Menteri, kapasiti serta bajetnya yang terhad mengekang keupayaan untuk melaksanakan fungsi sepenuhnya.
BHEUU kini bertanggungjawab secara pentadbiran terhadap beberapa agensi utama termasuk Jabatan Insolvensi, Jabatan Bantuan Guaman, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan dan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia.