Anwar Pertahan Bantuan Tunai RM100, Ada Orang Yang Perlukannya

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyelar segelintir pihak yang memperlekehkan pengumuman bantuan tunai RM100 secara sekali beri (one-off) kepada rakyat dewasa, menyifatkan mereka gagal memahami konteks penuh bantuan tersebut.

Menurut Anwar, sumbangan tunai itu bukanlah bantuan tunggal, sebaliknya merupakan tambahan kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang telah dinaikkan peruntukannya daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion tahun ini.

“Ada yang kata, ‘RM100 sahaja’. Tapi mereka ini gaji RM20,000, RM40,000 sebulan. Cuba tengok di kampung-kampung, ada yang memerlukan.

“Ini tambahan. Tapi apabila diumumkan, ada yang memperkecilkan seolah-olah tak ada makna. Bila saya kata rabun mata, mereka marah. Tapi tak baca dan faham keseluruhan,” katanya dalam ucapannya di Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa langkah itu adalah tanda penghargaan kepada rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, dan merupakan bantuan tunai pertama dalam sejarah yang disalurkan kepada semua rakyat dewasa berumur 18 tahun ke atas melalui MyKad.

Dalam pengumuman khasnya semalam, Anwar turut mengumumkan bahawa harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter selepas pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api.

Langkah itu dijangka memberi manfaat kepada 18 juta pengguna kenderaan, termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig.

Namun begitu, beliau mempersoalkan tindakan pembangkang yang mempertikaikan penetapan harga bahan api pasaran untuk warga asing.

“Boleh kritik saya, tiada masalah. Tapi ini subsidi, bukan cukai tambahan. Kita tarik subsidi yang sebelum ini dinikmati warga asing, kerana di negara mereka harga minyak lebih mahal.

“Ada ketua pembangkang kata kita bebankan mereka. Aneh sekali. Kita bantu rakyat kita dahulu. Adakah itu salah?” tegas beliau.

Anwar turut menjelaskan bahawa reformasi fiskal dan bantuan yang diperkenalkan bukan bertujuan membebankan mana-mana pihak, sebaliknya memastikan subsidi yang adil dan berfokus kepada rakyat Malaysia yang benar-benar memerlukan.

Bantuan RM100 ‘one-off’ di bawah program SARA 2025 dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat Malaysia, dengan jumlah keseluruhan peruntukan mencecah RM2 bilion.

Bantuan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Ekonomi MADANI yang menekankan keadilan sosial, kelestarian fiskal, dan keutamaan kepada rakyat.

Kerajaan juga telah mengumumkan pelbagai lagi inisiatif kebajikan termasuk kenaikan harga lantai padi, insentif untuk penoreh getah, peluasan program Jualan Rahmah MADANI, serta penstrukturan semula subsidi elektrik dan bahan api yang lebih bersasar.

BBerkaitan

Latest articles