KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak lagi akan berkompromi dengan sebarang amalan perolehan yang membuka ruang kepada kronisme, salah guna kuasa dan ketirisan yang merugikan negara.
Menurut beliau, pemberian kontrak secara rundingan terus tidak boleh diteruskan kerana terbukti menjadi punca kepada pelbagai penyalahgunaan sebelum ini.
“Seluruh jentera kerajaan mesti tunduk kepada hukum dan undang-undang, bukan dikuasai kepentingan politik atau kelompok tertentu,” katanya ketika membentangkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah penggubalan RUU baharu itu selaras dengan kerangka besar yang telah diperkenalkan kerajaan, termasuk Ekonomi Madani dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), bagi memperkukuh ekonomi negara serta menghapuskan ketidakadilan yang berakar sejak sekian lama.
RUU Perolehan Kerajaan 2025, yang mengandungi 12 bahagian dan 93 fasal, digubal bagi memastikan semua pihak yang menguruskan dana awam dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap setiap perolehan yang dibuat.
“Keberanian melakukan perubahan ini adalah satu-satunya jalan untuk menyelamatkan maruah negara. Warisan kepada generasi akan datang tidak boleh lagi berupa hutang dan kesengsaraan, sebaliknya sebuah Malaysia yang adil, bermaruah dan berdaya saing,” tegasnya.
Perdana Menteri turut mengingatkan Dewan Rakyat bahawa sejarah kewangan negara penuh dengan pengajaran pahit termasuk skandal Maminco, kerugian Bank Bumiputera, urus niaga Forex, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), projek kapal tempur pesisir (LCS) serta program Jana Wibawa.
“Kita mesti memastikan ketelusan dan pertanggungjawaban bukan lagi pilihan, tetapi menjadi tuntutan wajib agar kesilapan lalu tidak berulang,” katanya.