PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa perkhidmatan awam akan kehilangan arah sekiranya tadbir urusnya tidak berpaksikan nilai moral dan keadilan.
Beliau menegaskan, peranan utama penjawat awam bukan sekadar melaksanakan dasar kerajaan, tetapi memperkasakan rakyat serta memastikan kemajuan negara dinikmati secara saksama oleh semua lapisan masyarakat.
“Perkhidmatan awam yang gagal mendengar suara golongan lemah atau terpinggir akan kehilangan legitimasi. Keadilan mesti memandu setiap keputusan kita. Kemajuan tanpa belas kasihan adalah berbahaya, manakala pembangunan tanpa keadilan menjadi kosong,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan ASEAN: Perkhidmatan Awam Bersedia Menghadapi Masa Hadapan, hari ini.
Menurut beliau, kepimpinan masa kini menuntut kejelasan moral dan keberanian untuk melakukan reformasi, sambil mengingatkan bahawa perkhidmatan awam yang berwibawa memerlukan pemimpin yang berfikir melangkaui kepentingan politik jangka pendek.
“Sebuah perkhidmatan awam yang bersedia untuk masa depan perlu mempunyai pemimpin yang bertindak telus, terbuka menerima pandangan rakyat dan tidak terikat dengan kitaran pilihan raya,” tegasnya.
Mengulas mengenai kerjasama serantau, Anwar menekankan bahawa meskipun ASEAN kini dianggap rantau paling stabil di dunia, kestabilan semata-mata tidak mencukupi untuk menghadapi cabaran baharu yang kian kompleks.
“Negara anggota mesti berfungsi sebagai rangkaian institusi yang berkeupayaan dan dipercayai. Fasa seterusnya dalam kerjasama ASEAN bergantung kepada sejauh mana kita mampu memodenkan struktur pentadbiran negara masing-masing,” ujarnya.
Persidangan yang menghimpunkan wakil negara-negara ASEAN itu memberi tumpuan kepada agenda memperkukuh daya tahan dan kecekapan perkhidmatan awam, seiring dengan aspirasi rantau ini menuju masa depan yang inklusif dan berintegriti.