KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa penetapan sempadan darat antara Malaysia dan Indonesia, termasuk melibatkan tiga kampung di kawasan Nunukan, Kalimantan Utara, tidak pernah dibuat berasaskan prinsip pampasan, timbal balik atau pertukaran untung rugi seperti didakwa segelintir pihak.
Sebaliknya, beliau menjelaskan penentuan jajaran sempadan antara kedua-dua negara berpandukan konvensyen serta perjanjian antarabangsa yang dimeterai sejak era penjajahan dan kekal menjadi asas perundangan hingga kini.
Anwar berkata demikian ketika sesi penerangan khas mengenai isu Jajaran Sempadan Malaysia–Indonesia di Dewan Rakyat hari ini, yang bertujuan memperbetulkan kekeliruan serta salah faham dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, sempadan darat antarabangsa Malaysia–Indonesia ditentukan berdasarkan dua konvensyen dan satu perjanjian utama, iaitu Konvensyen Persempadanan antara Kerajaan British dan Belanda 1891 yang melibatkan keseluruhan Sabah dan Sarawak.
Bagi Sabah pula, penentuan sempadan berpandukan Perjanjian Persempadanan British–Belanda 1915, manakala sebahagian kecil sektor di Sarawak merujuk kepada Konvensyen Persempadanan yang ditandatangani di Hague pada 26 Mac 1928.
Beliau turut menafikan dakwaan kononnya Malaysia menyerahkan kawasan seluas 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan berkaitan tiga kampung di Nunukan, sambil menegaskan dakwaan itu tidak benar dan mengelirukan.
Jelas Anwar, penentuan jajaran sempadan di kawasan Outstanding Boundary Problem (OPB) Sungai Sinapad dan Sungai Sesai dibuat berasaskan Konvensyen 1891 serta Perjanjian 1915, dengan prinsip utama merujuk kepada kedudukan muara kedua-dua sungai berkenaan pada garis latitud 4 darjah 20 minit utara.
“Hasil pengukuran bersama mendapati muara Sungai Sinapad berada di utara garis tersebut, sekali gus menjadikan keseluruhan lembangan sungai yang bermuara di kawasan itu sebagai wilayah Malaysia,” katanya.
Beliau menjelaskan, kawasan OPB sebelum ini tidak boleh dianggap milik mana-mana negara kerana masih dalam proses rundingan sejak sekian lama, melibatkan keseluruhan sempadan darat sepanjang kira-kira 2,064 kilometer di sektor Sabah–Kalimantan Utara serta Sarawak–Kalimantan Barat.
Bagi OPB Pulau Sebatik, kerja siasatan dan pengukuran semula yang dilaksanakan pada 2019 mendapati Malaysia memperoleh tambahan kira-kira 50 hektar kawasan.
Sementara itu, bagi OPB Sungai Sinapad dan Sungai Sesai, pengukuran bersama yang diselesaikan antara 2022 hingga 2023 menunjukkan kawasan seluas 5,987 hektar kekal di bawah pentadbiran Indonesia, manakala Malaysia memperoleh tambahan sekitar 780 hektar.
Menurut Anwar, proses rundingan dan pengukuran kawasan berkenaan telah bermula sejak 1977 dan hanya dapat diselesaikan secara berperingkat selepas hampir lima dekad.
Beliau turut menegaskan bahawa sebahagian daripada tiga kampung di Nunukan sememangnya termasuk dalam wilayah Sabah berdasarkan perjanjian sedia ada dan menolak dakwaan berlakunya penyerahan wilayah secara mengejut.
Dalam perkembangan sama, Anwar mengingatkan semua pihak agar berhemah dan bertanggungjawab ketika mengulas isu sensitif berkaitan sempadan negara, selain tidak menjadikannya bahan politik sempit atau melontarkan tuduhan tanpa asas.
“Hubungan Malaysia dan Indonesia perlu terus dipelihara berlandaskan saling menghormati serta kerjasama erat demi kepentingan bersama,” katanya.










