Anwar Perjelas Isu Kalungan Bunga Ataturk Sebagai Protokol Rasmi, Bukan Sokongan Politik

ANKARA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa upacara meletakkan kalungan bunga di makam pengasas Turkiye, Mustafa Kemal Ataturk, merupakan sebahagian daripada protokol rasmi negara itu yang wajib dipatuhi oleh semua ketua kerajaan atau ketua negara yang melakukan lawatan rasmi.

Beliau menegaskan, pelaksanaan upacara berkenaan tidak membawa sebarang mesej politik atau pengiktirafan terhadap ideologi tertentu, meskipun secara peribadi beliau tidak sependapat dengan beberapa dasar dan keputusan Ataturk, khususnya yang berkaitan dengan Islam.

Menurut Anwar, kekeliruan serta kritikan yang timbul dalam kalangan segelintir rakyat Malaysia berpunca daripada kurangnya pemahaman terhadap latar sejarah serta konteks zaman tokoh tersebut.

“Hakikatnya, setiap pemimpin negara yang mengadakan lawatan rasmi ke Turkiye diwajibkan mengikuti protokol ini. Ia bukan pilihan peribadi atau pendirian politik,” katanya pada sidang media pada hari terakhir lawatan rasmi beliau ke Turkiye yang bermula 6 Januari lalu.

Anwar berkata, penilaian terhadap Ataturk perlu dilihat berdasarkan realiti sejarah awal abad ke-20, khususnya selepas kejatuhan Empayar Uthmaniyah susulan Perang Dunia Pertama, ketika kuasa bersekutu seperti Britain, Perancis dan Greece berusaha memecah-belahkan wilayah empayar itu.

Beliau menjelaskan, dalam situasi tersebut, Ataturk memimpin gerakan ketenteraan yang berjaya menangkis pencerobohan dan menghalang Turkiye daripada dijadikan jajahan kuasa Eropah, sekali gus meletakkan asas kepada pembentukan negara Turkiye moden.

“Disebabkan peranan itulah, masyarakat Turkiye melihat Ataturk sebagai tokoh yang mempertahankan kedaulatan negara mereka, dan penghormatan itu kekal hingga hari ini,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan bahawa beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan beberapa dasar Ataturk yang menyentuh hal ehwal Islam, termasuk perubahan berkaitan bahasa azan, tulisan dan pentadbiran negara.

Namun, katanya, perbezaan pandangan tersebut tidak wajar menafikan sumbangan besar Ataturk dalam mempertahankan Turkiye daripada penjajahan.

“Ada keputusan dan dasar beliau yang saya tidak setuju, tetapi jasa mempertahankan tanah airnya daripada dijajah tidak boleh dipadamkan,” katanya.

Mengulas kecaman yang dilemparkan terhadap beliau di Malaysia, Anwar berkata ia sebahagian besarnya berpunca daripada penilaian tergesa-gesa serta kurangnya kefahaman terhadap sejarah dan konteks sebenar lawatan rasmi tersebut.

BBerkaitan

Latest articles