Anwar Nafi Wujud Syarat Sokongan Untuk Peruntukan Pembangkang

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada syarat yang menetapkan Ahli Parlimen pembangkang perlu menyokong beliau bagi mendapatkan peruntukan.

Menurut Anwar, dakwaan bahawa kerajaan memaksa sokongan sebagai prasyarat untuk peruntukan adalah tidak benar.

“Mereka sebelum apa-apa pun sudah tuduh kita paksa sokong Perdana Menteri. Kita tidak ada langsung syarat-syarat yang dikemukakan,” katanya dalam sidang media selepas Permukiman Jemaah Menteri Kerajaan MADANI 2025.

Beliau menasihatkan Ahli Parlimen pembangkang agar berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, mengenai isu peruntukan tersebut.

Anwar turut menjelaskan bahawa perbincangan seperti ini bukan sesuatu yang baharu, malah beliau sendiri pernah berunding dengan Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika berada di pihak pembangkang.

“Jalur untuk mengadakan perjumpaan bukan perkara baharu, kita bincanglah dulu,” katanya.

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada beliau secara peribadi akan berjumpa dengan wakil pembangkang mengenai isu itu, Anwar berkata perkara tersebut tidak perlu kerana mandat untuk mencapai kata sepakat telah diberikan kepada Fadillah.

“Sudah dua tahun lebih mereka berdolak-dalik. Kita tidak ada masalah, kita dah beri ruang. Dalam hal ini, memang mandat diberikan Jemaah Menteri dan semua parti dalam Kerajaan MADANI kepada Fadillah,” jelasnya.

Kenyataan Anwar itu dibuat sebagai respons kepada saranan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, yang menasihatkan pemimpin pembangkang supaya berunding dengan kerajaan bagi mendapatkan peruntukan kewangan untuk Ahli Parlimen mereka.

Johari sebelum ini dipetik sebagai berkata bahawa pemberian peruntukan kepada wakil rakyat adalah berdasarkan keputusan Perdana Menteri.

BBerkaitan

Latest articles