KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan bagi membatalkan saman yang dikemukakan oleh peguam dan bekas menteri, P Waytha Moorthy, yang mempertikai kelayakannya sebagai Ahli Parlimen Tambun dan pelantikannya sebagai Perdana Menteri.
Permohonan itu difailkan melalui firma guaman Daniel & Wong pada 10 Oktober lalu.
Dalam hujahnya, Anwar menyatakan bahawa saman tersebut sebenarnya merupakan cabaran langsung terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 bagi kerusi Tambun, dan tindakan itu bercanggah dengan Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan keputusan pilihan raya hanya boleh dipersoalkan melalui petisyen pilihan raya, bukan saman sivil.
Presiden PKR itu turut menyatakan bahawa tindakan Waytha melanggar Seksyen 33 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana saman tersebut tidak difailkan di hadapan hakim pilihan raya seperti yang dikehendaki undang-undang.
Selain itu, Anwar berhujah bahawa saman tersebut difailkan di luar tempoh masa yang dibenarkan dan plaintif tidak mempunyai kedudukan undang-undang (locus standi) untuk mencabar kelayakannya.
“Saman ini dimulakan atas tujuan tidak wajar, termasuk meraih keuntungan politik, mengekalkan relevansi dan mengganggu defendan,” katanya dalam permohonan itu.
Anwar turut menyifatkan tindakan tersebut tidak dapat dipertahankan, tidak mendedahkan sebab munasabah, bersifat remeh, menyusahkan, serta menyalahgunakan proses mahkamah.
Beliau memohon agar semua prosiding saman itu digantung sementara sehingga keputusan dibuat terhadap permohonan pembatalannya.
Waytha memfailkan saman pada 14 Ogos lalu, meminta Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa pengampunan diraja yang diberikan kepada Anwar pada 2018 tidak menyatakan pengecualian daripada larangan lima tahun bertanding dalam pilihan raya.
Beliau mahu pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun pada 19 November 2022 serta pelantikan sebagai Perdana Menteri lima hari kemudian diisytiharkan tidak sah dan terbatal.
Presiden Parti Kemajuan Malaysia itu berhujah bahawa Anwar tidak layak menjadi ahli Dewan Rakyat di bawah Perkara 48(1)(e) kerana sabitan jenayah lampau.
Pada 6 Oktober, Waytha memohon Mahkamah Tinggi merujuk dua persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan berkaitan tafsiran pengampunan diraja dan pengecualian larangan lima tahun, di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 84 Akta Kehakiman 1964.
Kedua-dua permohonan itu dijadualkan untuk pengurusan kes pada 28 Oktober di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi.
Pada 16 Mei 2018, Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V, memberikan pengampunan penuh kepada Anwar atas tiga kes melibatkan salah guna kuasa dan tuduhan liwat, dengan alasan berlaku “kepincangan dalam keadilan”.
Ketika itu, Anwar menyatakan pengampunan tersebut turut diberikan kerana wujud konspirasi politik untuk menjatuhkannya.