KUALA LUMPUR: Wujud kekeliruan berhubung lantikan politik dalam badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC), demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu beliau mahu pelantikan semula bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, sebagai Pengerusi Felcra yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat lalu, ditangguhkan.
Anwar memaklumkan pelantikan semula itu sememangnya sudah dimaklumkan oleh Ahmad Zahid.
“Saya tidak pernah menyatakan tidak boleh mana-mana pihak yang terlibat politik itu menjadi pengurusan tetapi mesti terikat dengan syarat-syarat dan mesti ada kelayakan dalam bidang berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra, hari ini.