BAYAN LEPAS: Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mungkin kekal mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara itu dimaklumkan bapanya, yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri Majlis Makan Malam Pimpinan PKR Pulau Pinang di Setia Spice Arena di sini, malam tadi.
“Saya bagi scoop lah, kemungkinan besar (Nurul Izzah) bertanding di Permatang Pauh.
“Kemungkinan Nurul Izzah akan terus kekal bertanding di kubu kuat PKR meskipun terdapat desas-desus mengatakan dia mungkin akan bertanding di Parlimen Ampang,” katanya.
Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden PKR dan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow turut hadir di majlis yang sama.
Semalam media tempatan melaporkan, Nurul Izzah berharap beliau diberikan peluang untuk mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada PRU15 nanti.
“Sudah tentu jika ada pilihan (pertahankan kerusi). Permatang Pauh kerana kita kesuntukan masa dan saya sayang dengan Permatang Pauh,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Kuala Perlis.