KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan barisan kabinet yang akan diumumkan kelak bukan platform ganjaran kepada mereka bergelar ‘tuan politik’.
Sebaliknya Perdana Menteri itu berkata, pemimpin-pemimpin yang dilantiknya nanti seharusnya menyokong beliau berdasarkan polisi yang ingin dibawanya.
“Dan isu lain sudah tentu ialah keputusan saya untuk mengurangkan saiz Kabinet. Kerana saya tidak mahu meneruskan cara boros melantik menteri sebagai ganjaran. Jadi anda mempunyai 70 menteri ditambah dengan utusan khas dan penasihat.
“Sudah tentu kita boleh pertimbangkan satu atau dua itu sangat perlu. Itu tidak sepatutnya dilihat sebagai tuan politik yang memberi ganjaran bukan kerana mereka menyokong saya.
“Saya mahu mereka menyokong saya berdasarkan dasar saya dan komitmen saya terhadap tadbir urus yang baik. Komitmen saya terhadap anti rasuah dan untuk memulihkan ekonomi. Ia sebenarnya itu,” kata Anwar dalam sidang akhbar selepas mempengarusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022, hari ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus antara yang hadir.
Turut terlibat pegawai-pegawai daripada Jabatan Perangkaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.
Anwar, dalam pada itu memberitahu beliau akan mengumumkan anggota Kabinet dalam tempoh terdekat.
“Sudah tentu ia mengambil masa. Saya perlu berbincang rakan-rakan gabungan dan tiga parti utama PH.
“Dengan GPS, saya lakukan perjumpaan dengan Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam, bercakap dan berbincang wakil BN melalui jawatankuasa yang ditubuhkan.
“Petang ini, saya jumpa Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor di sini kemudian berbincang dengan Warisan,” kata Anwar.
Presiden PKR itu mahu melihat negara berfungsi dan adalahkan penting untuk beliau menubuhkan ‘pasukan’ untuk membolehkan mereka mula bekerja.