KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan Malaysia perlu mengambil peranan proaktif dalam kepimpinan ekonomi global dan serantau.
Berucap di Forum Ekonomi Malaysia 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini, beliau menekankan kepentingan kestabilan politik, reformasi institusi dan pembangunan ekonomi berasaskan nilai dan keadilan sosial.
Malaysia Sebagai Pemacu Pertumbuhan ASEAN
Dalam ucapannya, Anwar menyorot peranan penting Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, terutamanya ketika Asia sedang menjadi pusat ekonomi dunia.
Beliau komited ASEAN mampu menjadi blok ekonomi keempat terbesar di dunia, dengan pertumbuhan global yang didorong oleh ASEAN, India, dan China.
“Kita tidak boleh lagi sekadar menjadi pemerhati. Malaysia mesti memainkan peranan utama dalam kepimpinan ekonomi global, dengan mengukuhkan kerjasama serantau dan memastikan keputusan ekonomi dibuat berlandaskan nilai moral,” katanya.
Reformasi Ekonomi: Ke Arah Model Pembangunan Seimbang
Anwar menegaskan kepercayaan lama yang melihat reformasi ekonomi sebagai sesuatu yang bersifat ideologi sudah tidak relevan.
Sebaliknya, adalah penting menggariskan keutamaan gabungan antara pertumbuhan ekonomi yang dipacu oleh pasaran dan agenda sosial yang komprehensif untuk memastikan keadilan bagi semua lapisan masyarakat.
“Pertumbuhan pasaran tidak boleh bercanggah dengan keperluan sosial. Sebaliknya, kedua-duanya harus saling melengkapi, memastikan kestabilan ekonomi dan meningkatkan peluang pelaburan dalam sektor pendidikan, kesihatan, serta mobiliti sosial,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa “ekonomi manusiawi untuk keadilan sosial” adalah konsep yang telah diperjuangkannya sejak tiga dekad lalu, dan masih relevan dalam dasar ekonomi Malaysia hari ini.
Pencapaian 2024 dan Fokus 2025
Sepanjang tahun 2024, Malaysia berjaya mengawal inflasi, mengurangkan kadar pengangguran, serta menstabilkan nilai mata wang negara.
Pelaburan asing terus meningkat, khususnya dalam sektor semikonduktor dan pusat data, menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam bidang teknologi tinggi.
“Pasaran saham kita mencapai prestasi terbaik di ASEAN, dan Malaysia kini menjadi destinasi utama pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor strategik,” kata Anwar.
Sehubungan itu kerajaan, pada tahun ini akan menggandakan usaha dalam menjadikan Malaysia sebagai hab utama bagi tenaga elektrik, bakat, dan kepelbagaian rantaian bekalan.
Malaysia juga beraspirasi untuk menjadi peneraju global dalam sektor minyak & gas, semikonduktor, dan kewangan Islam.
Mengukuhkan Kepimpinan Pemikiran dan Dialog Ekonomi
Perdana Menteri turut menekankan kepentingan dialog dan wacana dalam memastikan dasar ekonomi yang lebih kukuh dan berasaskan bukti.
Beliau menyatakan bahawa tradisi perbincangan ini bukan sesuatu yang asing bagi tamadun Islam, merujuk kepada Majlis asy-Syura sebagai contoh amalan perundingan yang diamalkan sejak zaman dahulu.
“Dalam Islam, pemimpin diseru untuk berunding dan mendapatkan pandangan pakar bagi memastikan keputusan yang dibuat adalah tepat dan berasaskan ilmu. Itulah semangat yang perlu kita teruskan dalam merangka dasar ekonomi negara,” katanya, memetik Surah Ali ‘Imran ayat 159.