Anwar Kesal Isu Bantuan Gaza Dicemari Polemik Politik, Puji Peranan Turkiye Bantu 9 Aktivis Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kekecewaan apabila usaha menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza serta kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada persidangan ASEAN dicemari oleh polemik politik yang tidak sihat, sambil menegaskan misi bantuan itu memerlukan pengorbanan besar malah nyawa sukarelawan.

“Saya rasa tersinggung sedikit bila ini yang kita nak lakukan tapi dalam masa yang sama ditimbulkan polemik politik yang tidak sihat. Begitu juga pada anak-anak kita. Tak semua orang sanggup gadai nyawa bertarung untuk bantu rakyat Gaza,” kata Anwar kepada media selepas solat Jumaat di Presint 11 hari ini.

Anwar menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam misi kemanusiaan itu, mengajak rakyat Malaysia supaya menunjukkan sikap prihatin dan berdoa untuk kejayaan misi serta keselamatan para sukarelawan.

“Yang bantu, kita ucap jazakumullah khairan… ini saya harap sikap yang harus ada di kalangan orang Islam dan semua rakyat Malaysia yang lain,” tambah beliau.

Perdana Menteri juga memaklumkan sembilan rakyat Malaysia yang ditahan oleh tentera Israel semasa misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) sedang diuruskan dengan kerjasama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan, dan dijangka tiba di Istanbul.

Anwar berkata Putrajaya sedang bekerjasama rapat dengan pihak Turkiye untuk membawa pulang aktivis berkenaan.

Mengulas mengenai jemputan kepada Presiden Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN, Anwar menegaskan ia adalah langkah diplomasi untuk menolak keganasan dan memajukan perbincangan perdamaian bagi Palestin.

Beliau menggesa agar lawatan rasmi itu tidak dijadikan isu yang melemahkan usaha mencapai perjanjian yang berkesan. “Kita minta semua negara… supaya memastikan perjanjian ini dimeterai kemudian dilaksanakan,” katanya.

Anwar menambah bahawa tumpuan dunia termasuk Mesir, Qatar dan pihak berkepentingan Palestin seperti Hamas kini adalah mencari jalan untuk memastikan proses perdamaian berjaya, sambil menegaskan bahawa keganasan dan penindasan mesti dihentikan terlebih dahulu.

BBerkaitan

Latest articles