Anwar: Kes Rasuah Pemimpin Sabah Tidak Ditutup, SPRM Masih Cari Bukti

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan beberapa pemimpin Sabah tidak boleh dilakukan secara sembrono tanpa bukti kukuh, meskipun tekanan politik semakin memuncak.

Menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) di Dewan Rakyat hari ini, Anwar mendedahkan beliau sendiri telah menonton video tular yang mendakwa seorang pemimpin negeri menerima rasuah bagi meluluskan lesen penerokaan mineral.

Namun jelasnya, sebarang tindakan tetap tertakluk kepada siasatan menyeluruh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Anwar, SPRM masih menjalankan siasatan dan telah merujuk perkara itu kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

Setakat ini, katanya, kes berkenaan memerlukan masa kerana melibatkan isu jenayah yang tiada had masa siasatan.

“Video itu pada pandangan saya cukup kuat untuk disiasat. Tetapi keputusan bukan dibuat oleh saya. SPRM tentukan berdasarkan prosedur. Tiga individu sudah didakwa, yang lain belum dilepaskan,” katanya.

Anwar turut menepis dakwaan bahawa kerajaan campur tangan atau melindungi mana-mana pihak yang berkaitan, termasuk pemimpin daripada Kerajaan Perpaduan sendiri.

“Dua yang sudah didakwa itu juga daripada parti dalam kerajaan. Jadi tidak timbul soal melindungi sesiapa. Arahan saya jelas: tiada sesiapa terkecuali jika bukti kukuh,” tegasnya.

Setakat ini, ahli perniagaan Albert Tei, individu yang mendedahkan beberapa video dakwaan rasuah itu sudah menyerahkan lebih 300 halaman dokumen kepada SPRM, termasuk rekod bank dan dokumen aliran wang yang didakwa mengukuhkan tuduhannya.

Daripada 14 ahli politik Sabah yang dikaitkan dalam video tersebut, dua telah pun didakwa di mahkamah iaitu Datuk Andi Muhammad Suryady dan Datuk Yusof Yacob.

Dalam masa sama, Albert Tei sendiri turut berdepan pertuduhan memberi suapan berjumlah RM500,000 kepada mereka.

Walaupun Andi dan Yusof tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah kali ini, sekurang-kurangnya 10 lagi nama termasuk Ketua Menteri sementara, Datuk Hajiji Noor masih mempertahankan kerusi masing-masing, menjadikan isu ini antara yang paling hangat diperkatakan sepanjang kempen.

BBerkaitan

Latest articles