PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan terbuka menerima kritikan terhadap langkah peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), namun menyeru supaya pandangan tersebut dibuat berasaskan fakta yang tepat.
Menurut beliau, keputusan kerajaan memperluaskan skop percukaian itu dilaksanakan dengan penuh pertimbangan agar tidak membebankan majoriti rakyat.
“Apa yang dibangkitkan mengenai SST, saya lihat ada beberapa mahasiswa mengeluh kononnya kadar elektrik naik. Saya tak faham, apakah benar dia terkesan? Contohnya jika universiti mengenakan caj elektrik kepada mahasiswa. Kalau betul, itu kita kena betulkan. Setahu saya universiti awam dikecualikan,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini.
Beliau turut menegaskan kebebasan bersuara tidak sepatutnya menjadi ruang untuk menyebarkan fitnah atau cercaan melampau.
“Saya tidak ada masalah orang menegur dan mengkritik, tetapi tolong gunakan fakta yang betul. Kita boleh berbahas dengan baik,” tambahnya.
Sementara itu, baru-baru ini Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mengadakan demonstrasi di hadapan pusat beli-belah Sogo di ibu negara bagi membantah peluasan SST, sambil membawa sepanduk tertera pelbagai slogan membantah langkah tersebut.
Untuk rekod, pada 9 Jun lalu kerajaan mengumumkan penyasaran semula kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.
Kadar cukai jualan bagi barangan keperluan kekal tidak berubah, manakala kadar lima atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan yang tidak penting.
Skop cukai perkhidmatan turut diperluas meliputi enam perkhidmatan baharu termasuk penyewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.