KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan Madani tidak akan gagal hanya kerana bersikap mesra terhadap bukan Melayu, sebaliknya akan gagal jika terus mempertahankan budaya rasuah.
Menurut beliau, pentadbirannya akan terus menekankan nilai saling menghormati antara rakyat berbilang kaum dan agama serta memperkukuh aspek tadbir urus yang baik (good governance) demi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara.
“Kita tidak akan gagal kerana kita baik kepada bukan Melayu. Kita akan gagal kalau kita pertahankan amalan rasuah. Kita kena yakin ini adalah perkara yang tepat untuk dilakukan kerana nilai-nilai ini ditekankan dalam semua agama – keadilan dan harga diri,” katanya ketika menyampaikan ucap tama di Persidangan Antarabangsa Dialog Peradaban ICONCIDI 25 sempena 30 Tahun Dialog Peradaban di Universiti Malaya (UM), hari ini.
Anwar turut menekankan bahawa keunikan Malaysia sebagai negara pelbagai kaum dan agama merupakan kekuatan, namun pada masa sama, ia juga menjadi cabaran besar dalam memastikan keharmonian dan keseimbangan nasional.
Katanya, dalam konteks masyarakat majmuk, penting untuk semua kaum dan penganut agama mempromosikan nilai murni di antara komuniti yang berbeza, demi membina masyarakat yang lebih bersatu dan bertoleransi.
“Jika kita gagal mempromosikan nilai sejagat ini, kita akan jatuh ke tangan golongan ekstrem yang hanya mewakili suara satu kaum atau agama secara keterlaluan, dan itu akan menjejaskan kestabilan negara,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia seharusnya menjadi contoh kepada negara-negara ASEAN dan Asia dalam mempertahankan prinsip nilai sejagat meskipun berdepan pelbagai cabaran ideologi dan ketidaktentuan geopolitik.
Sehubungan itu Anwar mengajak agar institusi pengajian tinggi, para cendekiawan dan pendidik memainkan peranan penting dalam membentuk naratif masyarakat yang bersandarkan prinsip keadilan dan kesejahteraan sejagat.