Anwar: Keputusan Mahkamah Berhubung Hak 40 Peratus Sabah Akan Dihormati Sepenuhnya

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Persekutuan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung kajian semula pemberian khas kepada Sabah, dan komited untuk melaksanakannya mengikut lunas undang-undang.

Anwar menolak dakwaan kononnya kerajaan cuba mempertikaikan keputusan itu, sebaliknya menegaskan bahawa Kerajaan Madani akan meneliti alasan penghakiman penuh sebelum mengambil langkah susulan berpandukan nasihat Peguam Negara.

“Kerajaan tidak pernah menolak keputusan mahkamah. Kita akan teliti alasan penghakiman apabila diterima nanti dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan nasihat undang-undang,” katanya ketika sesi penerangan khas mengenai pemberian khas Sabah di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar turut menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai satu peringatan kepada kerajaan persekutuan sebelum ini, yang menurutnya gagal melaksanakan tanggungjawab terhadap negeri Sabah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan ini bukan sahaja mengikat kerajaan semasa, tetapi juga menjadi teguran terhadap kerajaan terdahulu termasuk Ahli Parlimen yang kini berada di blok pembangkang, yang suatu ketika dahulu turut menjadi menteri,” katanya sinis.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebelum ini memerintahkan supaya kajian semula pemberian khas dilaksanakan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, bagi memperhalusi semula hak negeri itu terhadap 40 peratus hasil bersih yang dikutip di Sabah.

Mengulas dakwaan bahawa kerajaan pusat hanya “menyedut hasil Sabah” tanpa menyalurkan manfaat sewajarnya, Anwar menegaskan tuduhan itu tidak berasas dan hanya menimbulkan kekeliruan rakyat.

“Tohmahan seperti itu mengelirukan. Komitmen Kerajaan Madani terhadap pembangunan Sabah jelas bukan sahaja menghormati Perlembagaan, tetapi juga melaksanakan tanggungjawab di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Beliau menegaskan, Sabah kekal menjadi antara keutamaan utama dalam agenda pembangunan nasional, dengan pelbagai projek infrastruktur, pendidikan dan kesihatan sedang dilaksanakan secara berperingkat.

BBerkaitan

Latest articles