KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi bukan sekadar kehilangan seorang pemimpin negara, tetapi juga seorang negarawan berjiwa besar yang mengubah naratif politik kekuasaan dengan pendekatan penuh nilai dan kemanusiaan.
Menerusi satu kenyataan malam ini, Anwar mengimbau jasa Tun Abdullah — atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah — sebagai seorang individu yang mengangkat kemajuan dan nilai melalui dasar Islam Hadhari.
“Di bawah kepemimpinan beliau, negara menyaksikan reformasi dalam sistem kehakiman, peningkatan ketelusan pentadbiran dan pemerkasaan institusi. Beliau memerdekakan suara rakyat dengan membuka ruang media dan penyertaan awam,” kata Anwar.
Menurutnya, pentadbiran Pak Lah yang berlandaskan Rancangan Malaysia Kesembilan turut menekankan pertumbuhan ekonomi yang inklusif serta pembangunan insan, terutamanya di kawasan luar bandar.
Disebalik segala pencapaian itu, Anwar menegaskan hal yang paling diingati adalah gaya kepemimpinan Pak Lah yang lembut, damai dan beradab — sesuatu yang jarang ditemui dalam dunia politik yang sering penuh gelora.
“Pak Lah memimpin dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa, dan suara yang tidak meninggi meskipun diasak bertubi-tubi. Beliau mengajarkan kita erti sebenar kemanusiaan dalam kepemimpinan,” katanya.
Anwar turut berkongsi pengalaman peribadinya, menyentuh tentang kali terakhir beliau menziarahi Allahyarham yang ketika itu berada dalam keadaan uzur.
“Namun saat tangan kami bersentuhan, matanya yang kabur masih memancarkan sinar kasih dan sikap damai yang tidak pernah padam. Dalam derapan langkah politik yang sering menyesakkan, Pak Lah sentiasa menjadi pihak yang menenangkan,” katanya.
Anwar turut mengimbau momen-momen getir dalam hidupnya, apabila Pak Lah tetap menunjukkan adab dan tidak pernah menyakiti meskipun mereka pernah berada di medan politik yang bertentangan.
“Pak Lah sentiasa memilih jalan damai, meskipun mudah baginya untuk membalas. Itulah jiwa besar seorang negarawan ulung,” ujar beliau.
Perdana Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada Tun Jeanne Abdullah, anakanda Khairy Jamaluddin dan seluruh keluarga Allahyarham.
“Seluruh negara bersedih atas kehilangan seorang negarawan yang membumi. Selamat jalan, Pak Lah. Malaysia terhutang budi kepada jasa dan budi bicaramu,” katanya mengakhiri kenyataan penuh emosi itu.
Tun Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN).
Berita pemergian beliau disahkan oleh menantunya, Khairy Jamaluddin melalui media sosial.
Allahyarham dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Kelima pada 31 Oktober 2003, menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad, dan meninggalkan legasi kepemimpinan yang dikenang penuh hormat dan kasih.