KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel yang memintas dan menahan kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) yang turut membawa rakyat Malaysia di atas kapal tersebut.
Anwar menyifatkan tindakan rejim Zionis itu sebagai tidak berperikemanusiaan serta jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip asas hak asasi manusia.
“Menahan kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza bukan sahaja kejam, tetapi juga mencabuli maruah kemanusiaan sejagat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, kerajaan Malaysia menuntut agar semua aktivis dan sukarelawan Malaysia dibebaskan serta-merta, diberikan perlindungan sewajarnya dan tidak dicederakan sepanjang tempoh tahanan.
Anwar menegaskan, Kerajaan Madani akan melakukan segala usaha diplomatik bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang terlibat terjamin.
“Kerajaan akan terus berhubung dengan negara-negara sahabat dan pertubuhan antarabangsa untuk memudah cara pembebasan mereka secepat mungkin,” ujarnya.
Sebelum ini, dilaporkan sembilan kapal dalam misi kemanusiaan FFC dan TMTG termasuk kapal utama Conscience telah dipintas tentera Israel pada jam 10.50 pagi waktu Malaysia, ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Gaza, kira-kira 130 batu nautika dari pesisir wilayah itu.
Kapal Conscience membawa 94 aktivis termasuk lapan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pakar perubatan, pensyarah dan wartawan, manakala seorang lagi rakyat Malaysia menaiki kapal layar Umm Saad.
Misi flotilla tersebut digerakkan bagi membawa bantuan kemanusiaan serta menyuarakan solidariti terhadap rakyat Palestin yang terus menjadi mangsa serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza.