KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras tindakan Israel menyerang Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Menurutnya, kapal misi tersebut jelas membawa sukarelawan tidak bersenjata serta bekalan penting untuk rakyat Palestin, namun tetap berdepan intimidasi rejim zionis.
“Dengan menghalang misi kemanusiaan, Israel bukan sahaja menafikan hak rakyat Palestin, tetapi juga menafikan hak kemanusiaan sejagat,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.
Anwar menegaskan Malaysia akan menggunakan saluran perundangan antarabangsa bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang terbabit dalam flotilla berkenaan.
Beliau turut mengulangi pendirian tegas Malaysia untuk terus bersama perjuangan Palestin.
“Selagi rakyat Palestin dinafikan hak asas dan aspirasinya, Malaysia akan terus bersolidariti bersama mereka,” katanya.