Anwar Ke Tambun Kerana Nak Kuatkan DAP

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengkritik bos lamanya yang kini memilih untuk bertanding di Parlimen Tambun pada PRU15 akan datang.

Ujarnya tindakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘lari’ dari Port Dickson dipercayai mempunyai kaitan untuk memperkukuhkan agenda koridor DAP di Perak.

“Orang Melayu, rakyat Malaysia, Cina, India dan kaum lain kena faham, kita tidak boleh terima parti perkauman sempit dan kita mesti tolak PH pada PRU-15,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Prihatin anjuran PN di Kompleks Kejiranan Presint 16 di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin dan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari.

Sehubungan itu Mohamed Azmin menggesa, rakyat perlu memilih PN pada PRU-15 sekiranya mereka mahu kerajaan yang bersih, stabil dan prihatin.

Beliau percaya rakyat hanya akan memilih PN yang dipimpin Muhyiddin.

“Saya percaya dalam naluri rakyat Malaysia tidak ada pilihan lain melainkan PN,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Ahli Parlimen Gombak itu percaya penjawat awam akan menghukum Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 atas sikap angkuh mereka semasa berkuasa dahulu.

Ini kerana rakyat tidak mahu pemimpin dan kerajaan yang bergaduh serta memperkudakan pegawai kerajaan.

“Saya katakan di sini, sebaik sahaja dibentuk kerajaan, lapan menteri Pakatan Harapan (PH) mendesak supaya lapan ketua setiausaha ditukar dari kementerian masing-masing.

“Masuk dalam Kabinet, ingin bergaduh dengan penjawat awam, menukar pegawai kerajaan termasuk lapan ketua setiausaha,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles