KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di lokasi insiden kebakaran saluran paip gas PETRONAS di Putra Heights pada jam 4.57 petang tadi untuk meninjau dan mendengar taklimat daripada pasukan keselamatan berhubung kejadian itu.
Beliau turut diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Selepas taklimat, Perdana Menteri dijangka melawat mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.
Terdahulu, media melaporkan kebakaran saluran paip gas dilaporkan mulai reda dan terkawal berikutan tekanan gas yang semakin berkurangan.
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad.