Anwar ke Arab Saudi untuk lawatan rasmi, perniagaan atau umrah ? Soal Ahli PArlimen Bachok

KUALA LUMPUR – Secara umumnya terdapat tiga bentuk lawatan ke luar negara, iaitu lawatan rasmi, lawatan perniagaan dan lawatan umrah yang masing-masing mempunyai objektif, sambutan serta aturan tersendiri.

Ahli Parlimen Bachok dari Pas, Syahir Sulaiman berkata, bagi lawatan rasmi objektifnya adalah untuk mengeratkan hubungan diplomatik yang sedia terjalin.

Katanya, menerusi lawatan ini, sambutannya dibuat dengan penuh protokol, manakala kemuncaknya kunjungan hormat ketua negara atau rakan sejawat dan disambut di istana atau pusat pentadbiran negara.

Namun, ujar beliau, pada 22 Mac lalu Bernama melaporkan, sepanjang lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi, beliau dijadualkan menghadap Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Perdana Menteri Arab Saudi di Istana Al-Salam.

“Bagaimanapun, kunjungan hormat di Istana Al-Salam yang dikatakan telah dijadualkan itu, tidak berlangsung seperti yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Syahir turut membandingkan lawatan rasmi dengan lawatan perniagaan yang lebih kepada objektifnya untuk meningkatkan hubungan dagang antara dua negara.

Menurut beliau, laporan menyatakan pertemuan Anwar dengan komuniti perniagaan berjaya diaturkan di Jeddah dan beberapa MoU telah ditandatangani.

“Walaupun tidak disaksikan bersama oleh Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi ataupun Menteri Kewangan Arab Saudi?,” soalnya.

Katanya, bagi lawatan ketiga iaitu umrah pula, objektifnya adalah untuk menunaikan ibadah umrah di Mekah dan ziarah di Madinah.

“Alhamdulillah, Perdana Menteri ke-10 berjaya menunaikan umrah dengan sebaiknya, diiringi isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

“Persoalannya, adakah lawatan Anwar ke Arab Saudi boleh dianggap sebagai suatu ‘kesipuan diplomatik’ dalam sejarah hubungan akrab antara dua negara, malah timbul persoalan mengenai keupayaan dan ‘kebijakan diplomasi’ di pihak Perdana Menteri dan Menteri Luar.

“Ini pastinya menuntut kepada suatu penjelasan yang tuntas daripada PMO bagi mencerakinkan apakah objektif, persiapan, penyusunan dan keseluruhan kos lawatan PMX ke Arab Saudi kali ini dan terpenting apakah pencapaian yang terhasil daripada lawatan bersejarah ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles