PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan berkompromi dalam siasatan rasuah, meskipun melibatkan negarawan yang pernah berjasa besar kepada negara.
Menurutnya, alasan “jasa” tidak boleh dijadikan perisai untuk melindungi sesiapa sahaja daripada tindakan undang-undang.
“Kalau guna jasa sebagai hujah, semua orang ada jasa. Tukang cuci ada jasa, penghulu ada jasa, malah orang korup pun ada jasa. Firaun pun ada jasa, dia bagi ribuan orang makan setiap hari, tapi tetap Firaunlah,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-58 dan Pelancaran Keep Malaysia Clean (KMC) di Puspanita Puri, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Anwar turut memuji keberanian SPRM di bawah kepimpinan Azam yang disifatkan berani melaksanakan tindakan tanpa gentar terhadap tokoh berpengaruh.
“Saya lihat SPRM telah menggegarkan negara dengan keberanian bertindak. Mana pernah dalam sejarah, pembesar paling berpengaruh boleh disiasat dengan begitu teliti dan berani? Inilah yang kita banggakan,” katanya.
Beliau menegaskan, keberanian SPRM mengambil risiko demi membersihkan negara daripada rasuah merupakan langkah bersejarah yang tidak pernah berlaku sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.