KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan menjawab isu titah adendum sebaik sahaja kes tersebut selesai di mahkamah.
Anwar berkata buat masa ini, beliau tidak boleh mengulas isu terbabit kerana masih di peringkat mahkamah.
“Saya sudah beritahu, saya nak jawab macam mana, kes masih di mahkamah, tetapi saya boleh beri jaminan, selesai sahaja kes mahkmah, saya akan jawab…saya nak tengok Ketua Pembangkang hadir atau tidak.
“Nak lari dari mana? Kamu (Ahli Parlimen pembangkang) jeritlah banyak mana pun, saya tahu fakta dia.
“Tapi nak suruh saya singgung kedudukan Raja-Raja Melayu, saya tak boleh…tapi saya dalam hal ini, saya memang hubungi Raja-Raja Melayu, tanya Sultan Kelantan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar (PH-Tambun) menjawab perkara dibangkitkan ketika soalan tambahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin sama ada isu titah adendum menjadi antara faktor pelabur-pelabur asing tidak yakin dengan polisi negara.
Tegas Anwar, beliau mempunyai fakta berkenaan isu titah adendum itu kerana telah menghubungi Raja-Raja Melayu mengenainya termasuk Sultan Kelantan.