Anwar: Industri Halal Malaysia Sasar Sumbang RM231 Bil Kepada KDNK Menjelang 2030

KUALA LUMPURs Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan komited memperkukuh peranan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) halal sebagai pemacu utama ekonomi global, dengan sasaran berani agar industri itu menyumbang RM231 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

Menurut Anwar, Malaysia kini memiliki hampir 10,000 syarikat halal yang diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan lebih 80 peratus daripadanya adalah PKS yang berpotensi besar menembusi pasaran antarabangsa.

“Halal bukan sekadar label, ia simbol kepercayaan dan integriti yang diterima semua lapisan masyarakat serta pasaran global. Malaysia sentiasa menampilkan halal sebagai model ekonomi sejagat,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Anwar berkata, industri halal kini berkembang menjadi sektor dagangan bernilai tinggi, bukan hanya dalam dunia Islam tetapi juga pasaran global seperti China, United Kingdom dan Brazil.

Malaysia turut mempunyai kelebihan dengan sistem pensijilan halal yang diiktiraf di hampir 50 negara melalui kerjasama dengan 80 badan akreditasi dari 45 negara.

“Menjelang 2030, produk dan perkhidmatan halal dijangka mencecah nilai RM18 bilion. Lebih besar lagi, pasaran halal global kini bernilai RM16 trilion dan bakal meningkat kepada RM22.88 trilion,” jelasnya.

Sidang kemuncak GHaS 2025 yang bertemakan ‘Integrity, Sustainability, Resilience’ menghimpunkan penyertaan hampir 50 negara bersama pelbagai badan pensijilan halal antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju halal dunia.

Malaysia sendiri telah diiktiraf sebagai peneraju halal global selama 11 tahun berturut-turut melalui Laporan Global Islamic Economy (GIE) 2024, membuktikan keupayaan negara dalam membina ekosistem halal yang diyakini, berdaya tahan dan mampan.

BBerkaitan

Latest articles