Anwar Hubungi Pemimpin Pakistan, Afghanistan, Bincang Penyelesaian Damai Ketegangan Sempadan

PUTRAJAYA/ Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan panggilan telefon dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohammad Hassan Akhund bagi menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap peningkatan ketegangan di sepanjang sempadan kedua-dua negara.

Dalam perbualan itu, Anwar menegaskan keperluan Pakistan dan Afghanistan mencari jalan penyelesaian secara damai melalui saluran diplomasi dan dialog, sekali gus mengelakkan konflik berpanjangan yang mampu mengundang penderitaan rakyat serta mengancam keamanan Asia Selatan.

“Saya menekankan pentingnya kedua-dua pihak menurunkan ketegangan dan mengutamakan usaha damai demi kepentingan bersama serta kestabilan serantau,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Selain isu keselamatan, Perdana Menteri turut menyampaikan ucapan takziah dan simpati atas bencana banjir yang melanda Pakistan serta gempa bumi yang menggoncang timur Afghanistan baru-baru ini.

Menurut beliau, Malaysia akan terus menyokong Pakistan dan Afghanistan bersama komuniti antarabangsa dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan serta memperkukuh semangat persaudaraan Islam.

“Malaysia juga berpendirian teguh menyokong apa jua inisiatif ke arah keamanan serantau, termasuk rundingan damai yang kini diusahakan di bawah kelolaan Kerajaan Qatar,” tambahnya.

BBerkaitan

Latest articles