Anwar Hubungi Kuwait, Oman, Tegaskan Keutamaan Jalan Damai

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa simpati Malaysia terhadap Kuwait dan Oman yang berdepan cabaran terhadap kedaulatan serta keselamatan negara masing-masing susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.

Menurut beliau, perkara itu disampaikan dalam perbualan telefon bersama Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Ahmad Abdullah Al-Ahmad Al-Sabah serta Menteri Luar Oman, Sayyid Badr Albusaidi.

Anwar berkata, perbincangan tersebut turut menyentuh perkembangan terkini di rantau berkenaan, khususnya konflik yang melibatkan Israel, United States dan Iran yang semakin memberi kesan kepada kestabilan serantau.

Dalam perbualan itu juga, beliau menyatakan penghargaan terhadap komitmen kerajaan Kuwait dan Oman dalam memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia yang berada di negara berkenaan terus terpelihara.

Pada masa sama, Malaysia turut menyanjungi peranan aktif Oman yang berusaha memudah cara proses mediasi antara kerajaan Amerika Syarikat dan Iran bagi meredakan ketegangan yang tercetus.

“Malaysia dan kedua-dua negara sepakat bahawa pendekatan damai mesti diutamakan, dan semua pihak perlu menahan diri daripada sebarang tindakan yang boleh menggugat kestabilan rantau ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Beliau turut berharap keberkatan bulan Ramadan mampu mengeratkan perpaduan umat Islam serta membuka ruang ke arah keamanan dan kestabilan yang lebih berkekalan di Asia Barat.

BBerkaitan

Latest articles