KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap pengalaman panjang Tun Musa Aman mengemudi Sabah dapat memanfatkan rakyatnya dengan pelantikan sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah yang baharu.
“Menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah di Istana Negara yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Tahniah saya ucapkan kepada Tun Musa Aman di atas pelantikan ini dengan dititipkan doa semoga khidmat dan pengalaman panjang Tun dihargai serta dimanfaatkan rakyat terutamanya rakyat Sabah,” ucap Anwar di Facebooknya pada Selasa.
Untuk rekod Musa dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-14 pada 27 Mac 2003 dan memegang jawatan nombor satu Sabah itu selama lima penggal sehingga 12 Mei 2018.
Musa, 73, adalah anak jati Beaufort yang dilahirkan pada 30 Mac 1951 itu.
Beliau memulakan kerjaya politiknya dengan bertanding pada Pilihan Raya Raya Negeri Sabah 1990 mewakili Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sugut di Sandakan, tetapi tewas.
Menyingkap sejarah pencapaian Musa, beliau juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga selama enam penggal bermula 1994 hingga 2020.
Beliau juga pernah memegang jawatan penting, antaranya Menteri Kewangan Sabah, Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, dan Konsul Kehormat Malaysia di Bangladesh.
Anak jati Beaufort itu memainkan penting semasa UMNO mengembangkan sayapnya di Sabah dan dilantik sebagai Bendahari Penaja Umno Sabah yang pertama, menjadi Ketua Bahagian Umno Libaran sebelum dilantik sebagai BendahariBarisan Nasional (BN) Sabah pada tahun 1992.
Pilihan Raya Negeri Sabah 1994 merupakan detik bersejarah dalam karier politik Musa apabila beliau dipilih untuk mewakili BN buat kali pertama pada pilihan raya negeri itu dan seterusnya memenangi kerusi DUN Sungai Sibuga dalam pertandingan pertandingan empat penjuru.
Beliau berjaya mempertahankan kerusi DUN itu selama enam penggal sehingga Pilihan Raya Negeri Sabah 2018.
Bekas Ketua Menterri Sabah itu yang pernah dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah bermula pada tahun 2013 hingga 2018, tidak mempertahankan kerusi DUN Sungai Sibuga pada Pilihan Raya Negeri Sabah 2020.
Selain politik, Musa juga mempunyai pengetahuan dan kemahiran luas dalam perniagaan serta pernah diberi kepercayaan antaranya sebagai Pengerusi Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Pengarah Yayasan Sabah, Ketua Pegawai Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd dan Pengerusi Sabah Softwood Sdn Bhd.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu juga pernah memegang jawatan sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Sabah, Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah, dan Presiden Dewan Perdagangan Bumiputera Sabah (DPBS).
Musa mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Rendah Kerajaan Mempagar, Limbawang, Beaufort dan melanjutkan pelajaran ke Sekolah St Paul Beaufort, sebelum berpindah ke Maktab Sabah dan menamatkan pengajian menengahnya di Sekolah Menengah All Saints, Kota Kinabalu.
Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan daripada Edith Cowan University, Australia.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu menerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri pada tahun 2017 sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada Sept 2017 dan Seri Panglima Darjah Kinabalu (Kelas Pertama) (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima pada 2006.
Beliau mendirikan rumahtangga dengan Puan Sri Faridah Tussin serta dikurniakan empat cahaya mata iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan.
Musa menggantikan Tun Juhar Mahirudin yang memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah selama empat penggal bermula 1 Jan 2011.