KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar semua misi kemanusiaan ke Gaza ditangguhkan sementara waktu susulan perkembangan terbaru penahanan 23 rakyat Malaysia oleh tentera Israel pada Rabu lalu.
Menurut Anwar, langkah itu perlu diambil bagi memberi ruang kepada rundingan diplomatik serta penyusunan semula strategi sebelum sebarang misi baharu digerakkan.
“Tentunya mereka (gelombang ketiga misi kemanusiaan) akan dihalang. Tetapi untuk keadaan sekarang, dengan kesan daripada penahanan itu, mungkin kita tawakuf seketika, berhenti dahulu, guna kebijaksanaan untuk runding semula dan susun strategi,” katanya.
Cadangan itu menyusul selepas pelayaran gelombang ketiga misi kemanusiaan ke Gaza yang dianjurkan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG).
Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) memaklumkan salah satu kapal terbesar, Conscience, telah berlepas dari Porto Otranto, Itali, pada Rabu lalu dengan membawa 94 peserta dari 25 negara termasuk wartawan, doktor, aktivis dan ahli Parlimen.
Daripada jumlah itu, lapan peserta adalah rakyat Malaysia yang diketuai oleh Dr Fauziah Mohd Hasan (MyCARE), Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Suhaimi serta wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Untuk rekod, flotilla gelombang ketiga ini membabitkan 10 bot yang berlepas dari Itali pada 27 September lalu di bawah koordinasi FFC dan TMTG.
Ia adalah kesinambungan daripada Global Sumud Flotilla (GSF) yang menghimpunkan lebih 1,000 sukarelawan dengan hampir 70 bot membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan ke Gaza.