KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa tidak bersetujunya dengan tindakan Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad yang suka mengkafirkan orang lain.
“Saya tidak setuju andaian kalau menyinggung kafir oleh pimpinan Pas dan saya tidak setuju cara Tun Mahathir menjawab mengkafir yang lain.
“Ini bukan tradisi budaya Islam dan tidak boleh dipertahankan. Ada yang terima tidak sanggup menegur.
“Mana Mufti Majlis Agama, tidak boleh tegur ke bab ni?, soal beliau dalam ucapan di Muktamar Sanawi dan Persidangan Antarabangsa Kosmopolitan Islam anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), hari ini.
Reaksi itu merujuk kepada kenyataan bekas Perdana Menteri itu bahawa PAS yang dipimpin Tan Sri Abdul Hadi Awang kini adalah parti kafir berikutan tindakannya bekerjasama dengan UMNO dan parti bukan Islam demi memperoleh kedudukan.
Dr Mahathir juga berkata sehingga kini PAS tidak menarik balik dakwaan yang dibuatnya suatu ketika dulu, bahawa orang yang tidak bersama parti itu adalah kafir, maka dengan tindakan kerjasama terbabit, ia menggambarkan bahawa mereka bukan lagi parti Islam.
Terdahulu Anwar pada Khamis menyatakan PAS yang dipimpin Abdul Hadi ketika ini berbeza dengan pendekatan yang dibawa bekas pemimpin parti itu, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Mengulas lanjut, Anwar mahu PH sebagai gabungan pembangkang tidak mengambil kisah mengenai dakwaan itu dan menganjurkan perkara itu boleh menimbulkan kacau bilau di masa akan datang.
“Pandangan kita jelas hentikan naratif yang merosakkan. Tumpu kepada dasar dan jangan serang soal itu kerana akan menimbulkan keadaan kacau bilau yang tak mungkin kita kawal.
“Pendirian saya dan arahan kita kepada PKR dan PH jangan layan dan harus bantah sikap samada tidak jelas kafir mengkafir ataupun memberikan pandangan kearah itu. Ia tidak sihat sama sekali,” katanya dalam sidang media pada program yang sama.